Sabtu, 29 November 2008

Semoga Cinta Itu Abadi 6(End)


“Syaza, ni sup ayamnya,” kata Rina sambil meletakkan mangkuk berisi sup ayam di atas meja. Dia berpaling mengadap ke arah Syaza yang sedang duduk di atas katil. Faisal pula sedang duduk di sisi Syaza.

“Faisal pun ada kat sini? Kamu berdua ni ada apa-apa ke?’ tanya Rina sambil tersenyum manis. Syaza terdiam. Tidak mungkin kawan baiknya ini penyebab deritanya. Tak mungkin!

“Rina, boleh saya tanya sesuatu?” tanya Syaza. Dia memandang Faisal untuk mendapat sedikit kekuatan. Faisal hanya mengangguk.

“Ya. Ada apa?” tanya Rina sambil mengangkat sebelah kening.

“Err, awak..awak ke yang mengadu pada Cikgu Khalid pasal Nazrin mabuk dan pergi ke kelab malam?” tanya Syaza tergagap-gagap. Raut wajah Rina kelihatan terkejut.

“Siapa yang beritahu awak, Syaza?”

“Saya yang beritahu dia. Saya nampak awak berjumpa dengan Cikgu Khalid lepas waktu persekolahan. Awak minta Cikgu Khalid jangan beritahu awak yang adu pasal Nazrin,” celah Faisal. Wajah Rina berubah pucat.

“Syaza, awak percayakan saya, kan? Awak percaya kan, bukan saya yang mengadu pada Cikgu Khalid? Awak kan kawan baik saya,” kata Rina. Syaza hanya berdiam diri. Tidak tahu siapa yang harus dia percayai. Otaknya terasa tepu.

“Awak tak percaya, kan?” wajah Rina berubah. Kemudian dia ketawa kuat. Syaza cemas. Apa kena dengan Rina?

“Kau bodoh, Syaza! Sekarang baru kau sedar akulah dalangnya? Selepas sembilan tahun, baru kau sedar?” tanya Rina sinis sambil ketawa kuat. Syaza terpaku. Kali pertama Rina berkau aku dengan Syaza.

“Jadi, betullah awak yang mengadu pada Cikgu Khalid? Kenapa?” tanya Syaza. Rasa terkejutnya masih tidak hilang.

“Kenapa? Kau tanya kau kenapa? Sebabnya senang. Aku benci kau selalu dapat perhatian daripada lelaki. Aku benci kau rapat dengan Nazrin. Aku benci!” jerit Rina. Syaza tergaman.

“Untuk pengetahuan kau, sewaktu Nazrin dan kau pertama kali berbual, aku ada waktu itu. Aku dengar semua perbualan kau dengan Nazrin. Kau tahu kenapa Nazrin sedih je waktu itu? Jawapannya adalah dia baru tahu yang kami akan dijodohkan oleh ibu bapa kami. Dia tak suka kat aku. Dia tolak mentah-mentah cadangan tu. Tapi aku, kau suka kat dia! Jadi, bila kau nampak korang berbual mesra, aku sakit hati. Terutamanya hubungan korang semakin hari semakin mesra. Hancur hati aku,”

“Mungkin Tuhan nak tolong aku, aku terserempak pula dengan kau sewaktu kau terserempak dengan Nazrin dalam keadaan mabuk. Aku jumpa cara untuk membuatkan kamu berdua saling membenci. Jadi, aku ambik gambar Nazrin sewaktu dia mabuk dan aku bagi kat Cikgu Khalid. Nazrin pula percaya kau yang mengadu. Aku kenal Nazrin. Dalam lembut, ada juga ganasnya. Aku tahu dia akan balas dendam. Sebab itu aku dekati kau. Kita jadi kawan baik, tapi aku suruh kau rahsiakan. Kenapa? Aku tak nak Nazrin curiga. Aku mahu dia jadi milik aku!”

“ Untuk pengetahuan kau lagi, sebenarnya Nazrin taklah teruk sangat kenakan kau. Aku yang sengaja tambah. Contoh, sewaktu kau kena siram dengan air, aku yang tolak tangan Nazrin biar baldi air itu jatuh di atas kau. Kau sangka Nazrin sengaja, tetapi sebenarnya aku yang tolak. Tapi, aku ingat rancangan aku dah cukup baik. Rupanya tidak. Nazrin menyesal kenakan kau begitu. Dia tidak tahan. Kenapa? Sebab dia sukakan kau! Jiwa aku sakit, tau! Dia ada letak surat minta maaf dalam buku kau. Aku terjumpa dan aku ambik,”

“Aku tukar surat itu dengan surat yang mengandungi caci maki. Aku tahu kau akan berpindah ke Pahang, jadi aku kenakan kau dengan teruk lagi. aku letak gam kat kerusi, aku sembunyikan kasut kau, aku simbah cat kat beg kau dan banyak lagi. Nazrin langsung tidak buat itu semua. Aku mahu kau pahatkan kebencian dalam diri kau sebelum kau pindah ke Pahang. Perkara sama aku lakukan dengan Nazrin. Aku sebarkan gambar mabuk dia di seluruh sekolah. Jadi, dia semakin membenci kau!” jerit Rina. Syaza dan Faisal tergaman. Nazrin yang bersembunyi juga tergaman.

“Kenapa? Kenapa kau sanggup buat begini? Kita kan kawan,” tanya Syaza. Air matanya sudah merembes keluar.

“Kawan? Aku tak pernah anggap kau kawan. Hei, sedar diri sikit. Kau tu miskin, mana sesuai berkawan dengan aku. Aku masih berhubung dengan kau selepas kau pindah pun sebab aku nak pastikan kau tidak berjumpa dan rapat semula dengan Nazrin. Andaian aku betul. Kau berjumpa semula dengan Nazrin. Jadi setiausaha dia lagi! Silap aku, aku lupa nak beritahu kau di mana Nazrin bekerja. Dia tidak kerja kat syarikat papa dia. Nak timba pengalaman, konon,” kata Rina sambil mencebikkan bibir.

“Awak tak takut Nazrin tahu yang sebenar?” tanya Syaza menguji. Dia tahu Nazrin sedang mendengar.

“Dia takkan percaya cakap kau. Dia bencikan kau dengan sepenuh jiwa dia. Aku yang nasihatkan dia bila dia ingat kau mengkhianati dia. Usaha aku tidak sia-sia. Nazrin setuju menerima perjodohan kami. Dia akhirnya jadi milik aku. Tapi, kau muncul semula. Malah, dia bawa kau pula datang parti ni. Aku geram. Apa yang aku kata kata telefon tadi betul. Dia sukakan kau dan masih sukakan kau. Namun, dia lebih sukakan aku. Dia tinggalkan kau sorang dan naik atas pentas. Ini menunjukkan yang dia hak mutlak aku. Kau tiada langsung dalam hatinya kini,” kata Rina bongkak. Syaza menggeleng tidak percaya. Faisal juga begitu. Tidak disangka Rina begitu licik.

“Hmm, satu lagi. kau nak tahu kenapa Nazrin dan Faisal bermusuh sampai hari ni?
Pada mulanya disebabkan perkara kecil je seperti bersaing dalam pelajaran tapi bila Faisal turut jatuh hati dengan kau, mereka menjadi seperti musuh ketat,” kata-kata Rina itu menyebabkan Syaza dan Faisal terkejut. Merah muka Faisal dan Syaza menyambutnya dengan senyuman. Takkanlah Faisal boleh jatuh hati dengan aku. Kitaorang berbual dua tiga kali sahaja.

“Kau tak percaya? Suka hati kaulah. Tapi, aku nak ingatkan kau. Jangan sesekali dekati Nazrin. Aku benci. Lagipun dia bakal tunang aku. Kalau kau pernah anggap aku sebagai kawan kau sebelum ini, jangan jumpa dia lagi. Berhenti kerja dan kerja kat tempat lain. Kalau susah, biar aku tolong carikan kerja untuk kau,” Rina berkata sambil memeluk tubuh. Dia langsung tidak memandang Syaza.

“Awak tak perlu risau. Kan tadi awak beritahu yang Nazrin bencikan saya dan dia sukakan awak. Jadi, tak ada perlunya saya berhenti kerja,” bantah Syaza. Dia tidak mahu menurut perintah kawan yang mengkhianatinya.

“Memang dia bencikan kau tapi rasa sayang tu ada lagi. Aku boleh nampak dari cara dia pandang kau. Sebab tu aku tolak kau ke dalam kolam renang. Aku nak malukan kau, aku nak kau sangka Nazrin yang tolak kau, tapi aku silap. Aku lupa kau tak tahu berenang. Jadi, Nazrin dan Faisal berlagak hero dengan terjun ke dalam kolam dan selamatkan kau. Semakin aku bencikan kau! Jadi, keluar dari hidup aku dan Nazrin. Jangan ganggu kami lagi!” jerit Rina. Syaza terkejut. Rina yang menolaknya? Faisal dan Nazrin pula yang
menyelamatkannya? Barulah dia sedar yang Nazrin dan Faisal sudah bertukar pakaian sepertinya. Syaza mengurut dada. Rasa sebak menguasainya.‘Sampai hati kau, Rina. Rupanya kau tak ikhlas berkawan dengan aku selama ini’rintih Syaza.

“Rupanya kau yang tolak Syaza. Kau tak takut, ke kalau Syaza lemas? Hal ini boleh jadi kes polis!” Faisal yang dari tadi ayik mendiamkan diri bagi memberi peluang untuk Syaza dan Rina berbicara mula mencelah. Baginya, Rina dah melampau!

“Suka hati akulah. Lagipun dia tak mati, kan? Aku benci kat kau juga. So, berambus dari rumah ni. Bawak sekali perempuan tak guna tu!” tempik Rina.

“Kau sebenarnya permpuan tak guna Emilia, bukan Syaza ,” kata Nazrin tenang lalu keluar dari tempat persembunyiannya. Wajah Rina bertukar pucat.

“Sejak..sejak bila you ada kat situ?” tanya Rina tergagap-gagap.

“Aku tak sangka betul kau sebenarnya dalangnya. Kau buat aku membenci Syaza selama sembilan tahun walaupun dia tak bersalah. Sembilan tahun aku terseksa jiwa aku sebab aku membenci orang yang aku cintai. Selama sembilan tahun ini, aku menjadi plastik, berpura-pura menyukai kau,” kata Nazrin lemah sambil meraup mukanya. Tiada lagi suara lantangnya menghamburkan kata. Dia betul-betul kesal. Syaza dan Faisal hanya berdiri tanpa suara. Mendengar perbualan Nazrin dan Rina.

“Nazrin, dengan dulu perjelasan I. Apa yang you dengar tadi tak benar,” rayu Rina. Air matanya mula mengalir. Nazrin mengeleng kepalanya.

“Sudah cukup apa yang aku dengar tadi. Baguslah. Aku dah tahu cerita sebenar. Dulu, aku pernah ragu tapi ego dan marah menguasai diri. Aku melakukan kesalahan besar dengan menerima perjodohan kita. Aku tak sangka langsung hari ini kau, papa kau dan mama papa aku berpakat nak mengumumkan pertunangan kita. Aku langsung tidak dapat mengelak,”

“Cerdik kau, kau tahu aku takkan malukan papa mama kau dengan tidak naik ke atas pentas. Kau tahu, apa sebabnya aku bawa Syaza ke parti ini? Jawapannya aku mahu cuba berdamai dengan dia. Tapi, lepas Syaza tuduh aku tolak dia ke dalam kolam, aku jadi marah. Jerat kau hampir mengena sekali lagi, tapi mujur Faisal cerita yang kaulah dalangnya. Kalau tidak, entah bila kami akan terus membenci,” kata Nazrin lagi. Raut wajahnya keruh.

“I minta maaf, Nazrin. I buat ni semua sebab I cintakan you!” Rina menggenggam erat tangan Nazrin. Nazrin langsung tidak membalas genggamannya.

“Cinta? Adakah ini dinamakan cinta? Menipu?!” suara Nazrin meninggi.

“Hei, apa yang hebat sangat perempuan tu? Apa kurangnya I? Perempuan tu dahlah miskin, tak ada ibu bapa pulak tu. I jauh lebih kaya dan hebat dari dia! Jadi, kenapa you lebih membela dia dari I? I ni tunang you!” jerit Rina pula. Dia tidak suka ditengking.

“Correction, bakal tunang. Bukan tunang lagi. Kau ingat aku akan teruskan pertunangan ini selepas tahu semua ini? Sebelum ini pun aku terpakasa terima kau atas permintaan papa mama aku,” kata-kata Nazrin menyebabkan Rina terduduk. Hancur semuanya. Hancur!

“Syaza, jom balik,” Nazrin menarik tangan Syaza lalu beredar dari bilik itu.

“Faisal, kan kau sukakan Syaza. Mari kita bergabung tenaga. Tentu kita dapat pisahkan mereka berdua. Kau dapat Syaza, aku dapat Nazrin,” Rina memberi cadangan. Dia berdiri dan memegang tangan Faisal. Faisal menolak keras tangannya.

“Aku mengaku aku sukakan Syaza dari dulu lagi. Walaupun kami hanya berbual beberapa kali, aku jatuh hati dengan kebaikan dan keikhlasan hatinya. Bila Nazrin tahu, semakin dia bencikan aku sebab dia pun sukakan Syaza. Aku berjanji akan merampas Syaza dari tangannya tapi takdir tidak menyebelahi aku. Aku terpaksa berpindah. Namun, lepas sembilan tahu rasa cinta itu masih ada,”

“Aku gembira boleh berjumpa semula dengan Syaza tapi lepas mengetahui pengalaman yang dilalui oleh meraka berdua akibat kau, aku rela mengalah. Aku tak sanggup nak pisahkan mereka lagi. Lagipun aku tahu Syaza amat cintakan Nazrin walaupun dia fikir Nazrin yang menyeksanya selama ini. Aku tak fikir Syaza akan cintakan aku melebihi cintanya kepada Nazrin. Maaf, aku tak boleh tolong kau. Aku tak mahu gunakan cara kotor macam kau!” Faisal turut keluar dari bilk itu meninggalkan Rina seorang diri. Rina terduduk lagi. Kekalahan menjadi miliknya kini..
************************

“Syaza,” Nazrin bersuara apabila menghentikan kereta mewahnya di sebuah taman. Syaza tidak bersuara.

“Maafkan saya. Saya tidak percayakan awak. Selama ini saya ditipu,” lirih suara Nazrin. Begitu licik rancagan Emilia sampai dirinya boleh terpedaya.

“Maafkan saya juga. Kita sama-sama tertipu dan terpedaya. Dan ianya datang dari orang yang paling kita tak sangka. Saya kesal, Nazrin. Sembilan tahun saya berkawan dengannya. Saya anggap dia kawan sejati saya. Rupanya dia tidak ikhlas berkawan dengan saya lagi. Selama ini, dia yang pujuk saya bila saya fikir saya dikenakan awak. Tetapi rupanya dia yang lakukan semuanya, Nazrin. Saya tak sangka langsung! Kenapa semua ini boleh jadi begini? Kenapa?” air mata mula mengalir dari mata Syaza. Rasa sebak, kesal, marah, geram dan gembira semuanya bercampur-aduk.

“Semuanya sudah berlalu. Kita mulakan kehidupan baru. Kita lupakan kenangan lama. Sudahlah menangis. Buruk benar saya tengok,” dalam situasi itu sempat lagi Nazrin mengusik. Syaza mencebik. Selepas itu Nazrin ketawa. Syaza terpaku. Kemudian dia menangis lagi.
“Kenapa menangis lagi ni?” tanya Nazrin cemas. Kali pertama dia melihat air mata Syaza tumpah sebanyak ini.

“Kali pertama saya tengok awak ketawa tanpa sinis selepas kejadian itu. saya bersyukur semua ini dah berakhir,” kata Syaza dalam sendu. Nazrin mengeluh. Nampaknya dia dah banyak lukakan hati wanita kesayangannya itu. Wanita kesayangan? Ya, sekarang baru dia berani mengaku wanita itulah wanita kesayangannya. Egonya sudah dibuang jauh-jauh. Ego itulah punca semua sengsaranya dan Syaza.

“Saya betul-betul minta maaf. Saya dah banyak menyakiti awak,” kata Nazrin kesal. Syaza menggeleng.

“Ini bukan salah awak seratus-peratus. Kita terpedaya. Jadi, jangan salahkan diri. Saya dah cukup bersyukur sebab kebenaran dan terungkap,” kata Syaza pantas. Dia tahu, dia juga bersalah menuduh Nazrin yang menyeksanya. Sedangkan itu perbuatan Rina.

“Mungkin saya terburu-buru tetapi sudah banyak masa yang disia-siakan dulu. Syaza, sudikah awak menjadi suri di hati saya, anak kepada mama papa saya, dan ibu kepada anak-anak saya nanti?” tanya Nazrin tiba-tiba. Syaza tersentak.

“Saya tak sesuai dengan awak, Nazrin. Betul kata Rina tadi. Saya miskin dan tiada ibu bapa, manalah sesuai dengan awak. Lagipun, pasti ibu bapa awak membantah. Mereka lebih sukakan Rina sebagai menantu mereka,’ Syaza menolak walaupun dia sangat mencinta Nazrin.

“Saya tidak mungkin akan kembali kepada Emilia. Pasal ibu bapa saya, saya akan cuba berbincang dengan mereka. Pada pertama kali kita bercakap, kan awak suruh saya berbincang baik-baik dengan mereka. Sekarang saya nak cuba. Awak harus percayakan saya,” Nazrin memandang Syaza penuh harap. Syaza membalas renungan mata Nazrin. Terharu kerana Nazrin masih mengingati cadangannya walaupun sudah sembilan tahun berlalu.

“Saya..saya tak tahu mahu cakap apa, Nazrin,” air mata Syaza kembali mengalir.

“Awak setuju?’ tanya Nazrin tidak sabar.

“Ya,” akhirnya Syaza mengalah pada perasaannya. Nazrin tersenyum gembira.

“Saya berjanji saya tidak akan lukakan awak lagi. Saya berjanji,”

“Saya percaya pada janji awak itu,” kata Syaza sambil mengelap air matanya dengan sehelai sapu tangan bewarna biru.

“Ni sapu tangan yang saya berikan pada awak sembilan tahun lalu, kan? Awak masih simpan lagi?” tanya Nazrin sambil memandang sapu tangan tu dengan mata yang bulat. Dia tidak percaya.

“Mestilah. Awak yang bagi. Tapi masa tu perangai awak baik lagi,” usik Syaza. Nazrin hanya tersenyum.

“Saya bersyukur semua kekusutan dah terurai. Sama-sama kita lupakan kenangan pahit dan mulakan kehidupan baru. I love you,” Nazrin mencapai sapu tangan itu dan mengelap air mata Syaza.

“Me too, Nazrin,” kata-kata itu terucap bersama sebuah kesyukuran dan doa. Semoga kebahagian milik mereka selamanya. Amin..

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

sukenye
citer ni best giler
buatla sambung dia tuk season 2 plak
mesti best

Tanpa Nama berkata...

tak sangka cite ni sweet sgt..
tp mcm cepat je syaza tu suka smula kat nazrin..
mgkn sy xleh phm sbb xde pngalaman kot..
hehehe...nway,
cuba wat season ke dua plak...
bagi kecoh sama rina tu..
bg dia insap sket..
kejam ah wat camtu..
nway....kesian kat faisal...
tomeyny klu syaza ngan faisal..
hahaha...pdn muka nazrin...
hahahha....
wat ever pun, cite nu mmg sweet sbnrny...


~lizarazu~