Selasa, 13 Januari 2009

Berikan Aku HidayahMu 6(End)

“Azim mintak maaf. Azim banyak buat silap. Maafkan Azim,”suara Azim teresak jelas di telinganya. Syafiq diam. Sejak dia sedar, dia sudah berubah menjadi pendiam. Pandangannya gelap dan kosong, sekosong hatinya sekarang. Walaupun mama, papa, Rizal dan Adam tidak putus-putus menceriakannya, bibirnya tetap kaku untuk tersenyum. Bukan nikmat penglihatannya sahaja yang ditarik balik, tapi senyumannya juga.


“Abang,” suara Azim kedengaran lagi. Syafiq terpaku. Panggilan itu, dia sudah lama mengimpikan untuk mendengarnya. Dan sekarang dia sudah dapat mendengar kalimah itu dari mulut Azim sendiri. Syafiq bersyukur. Jika inilah yang dia dapat apabila matanya buta, Syafiq bersyukur yang dia tidak dapat melihat. Sekurang-kurangnya dia mendapat kembali adiknya.

“Abang maafkan Azim,” ujar Syafiq lalu memeluk Azim. Azim teresak di bahunya. Syafiq tersenyum kecil.


******************************

Syafiq mengaminkan doanya. Dia baru selasai solat. Solat, satu perkara yang sudah lama ditinggalkan. Sejak penglihatannya ditarik balik, Syafiq memikirkan kembali apa yang sudah dilakukan ketika masih dapat melihat. Betapa jahilnya dia. Sembahyang ditinggalkan, Al-Quran dilupakan, arak menjadi penemannya dan bertukar-tukar wanita menjadi hobinya. Ya Allah, betapa berdosanya dia!

Syafiq menjadi takut memikirkan azab yang akan diterimanya nanti. Dia taubat, dia tunduk memohon keampunan. Dia bersyukur, dia kembali ke pangkal jalan apabila nikmat melihatnya ditarik balik. Setiap benda yang terjadi ada hikmahnya. Dan dia gembira dia berpeluang bertaubat. Dia sudah tidak menyesali keadaan matanya sekarang. Malah, dia bersyukur. Jika dia boleh melihat, sudah pasti dia masih hanyut dalam kejahilan. Ya Allah, berikan aku hidayahmu!


Saat hatiku dingin beku,
Ku cari tangga ampunanMu,
Maha pengasih tujukkan aku,
Jalan amal dan hidayahMu,

Allah Ya Robbi Panutan hati,
Berikan aku hidayahMu,
Dalam asmaMu aku bersimpuh,
Berikan aku hidayahMu


*************************

“Allah S.W.T. tidak akan memberi dugaan melebihi kemampuan hambanya,” kata-kata dari Khairunnisa sering berlegar di kepala Syafiq. Kata-kata itu memberi dorongan kepadanya. Walaupun dia sudah tidak dapat memiliki Khairunnisa, dia bersyukur kerana dapat mengenali wanita berhati mulia itu.

“Syafiq,” suara Khairunnisa kedengaran. Syafiq tersenyum nipis. Khairunnisa datang melawatnya setiap hari. Kadangkala dia berasa hairan kenapa wanita itu tidak putus-putus melawatnya.

“Awak datang melawat saya setiap hari, tidak menyusahkan awak ke?” tanya Syafiq. Dia mendengar bunyi geseran dari kerusi. Tentu Khairunnisa duduk di bebelah katilnya. Inilah kelebihan yang dia dapat setelah dia tidak dapat melihat. Pendengarannya menjadi tajam. Dan barulah dia sedar sekarang, dunia ini mempunyai banyak bunyi yang indah. Dia bersyukur kerana dia dapat menikmati nikmat itu sekarang.

“Salahkan saya melawat tunang sendiri?” jawab Khairunnisa. Walaupun Syafiq tidak dapat melihat, Syafiq pasti Khairunnisa sedang tersenyum sekarang melalui antonasi suaranya. Namun, otaknya memproses semula apa yang dikatakan Khairunnisa. Tunang?

“Tunang?” tanya Syafiq kehairanan.

“Ya, awakkan tunang saya,” kata Khairunnisa. Syafiq terkejut.

“Tak mungkin,” kata Syafiq perlahan.

“Mama tak beritahu awak ke? Mama awak datang merisik saya kat kampung. Saya ingat awak nak rahsiakan dari orang kat pejabat, jadi saya diamkan aja. Mama awak datang sarung cincin sebelum awak kemalangan lagi,”ujar Khairunnisa panjang lebar. Syafiq terdiam. Tentu kerja Rizal dan Adam!

“Tanggalkan cincin tu. Kita putuskan pertunangan,” ujar Syafiq. Walaupun dia gembira atas pertunangan itu, dia tidak mahu menghancurkan masa depan Khairunnisa. Khairunnisa akan menderita bersama dengan orang buta sepertinya. Khairunnisa layak bersama dengan seseorang yang sempurna, bukan sepertinya. Khairunnisa tentu masih berada di sampingnya kerana kasihan. Khairunnisa seorang wanita yang baik dan mulia. Sebaik-baik namanya, Khairunnisa yang bermaksud sebaik-baik wanita. Namun, Syafiq terkejut apabila mendengar esakan halus Khairunnisa.

“Kenapa? Awak tak sukakan saya ke? Saya tak layak untuk awak ke?” tanya Khairunnisa cuba mengawal esakannya sedaya upaya. Syafiq mengeluh.

“Bukan awak tak layak untuk saya tapi saya yang tak layak untuk awak. Saya tak sempurna. Saya buta mata. Saya tak boleh bahagiakan awak. Awak pasti menderita jika awak bersama dengan saya!” ujar Syafiq. Khairunnisa teresak. Ingin sahaja Syafiq menyapu air mata Khairunnisa tapi dia tahu, Khairunnisa tidak halal untuknya.

“Saya bukan mencari kesempurnaan. Saya mahukan Syafiq. Bagi saya, Syafiq tetap sama. Cuma Syafiq yang dulu celik mata tapi buta hati. Syafiq yang sekarang buta mata tapi celik hati. Hati yang penting! Awak sudah berubah. Saya gembira dengannya. Itu sahaja yang saya mahukan sekarang,” terang Khairunnisa. Syafiq terpaku.

“Awak akan menderita dengan saya,” Syafiq masih tidak putus asa.

“Awak masih ingat kata-kata saya? Manusia sama sahaja. Mereka berada di langit yang sama, menghirup udara yang sama. Yang membezakan mereka bukan pangkat dan asal keturunan tapi kemulian hati dan akhlak. Itu yang saya mahukan. Awak faham kan sekarang?” tanya Khairunnisa. Perlahan-lahan, Syafiq mengangguk dan menguntumkan senyuman.

************************************




Syafiq menggenggam tangan Khairunnisa yang sejuk. Walaupun Khairunnisa cuba menenangkannya tapi hakikatnya Khairunnisa sendiri sedang gelisah. Setelah dua tahun hidup dalam kegelapan, hari ini adalah penentu adakah pembedahan pemindahan matanya berjaya atau tidak. Bertahun dia menunggu penderma mata dengan sabar dan Khairunnusa sentiasa setia di sisinya.

Syafiq tersenyum kecil, berusaha menenangkan Khairunnisa yang kini sudah menjadi isterinya. Tiada upacara persandingan yang gilang-gemilang pada hari pernikahannya. Yang ada hanyalah akad nikad dan kenduri kesyukuran. Azim, mama dan papa mesra dengan keluarga mertuanya. Keluarga mertuanya amat baik dan tidak kisah dengan matanya yang buta. Malah mereka sangat mengambil berat tentangnya. Dari situlah dia tahu dari mana Kharunnisa mewarisi sifat mulianya. Walaupun majlis itu ringkas sahaja, Khairunnisa tidak putus-putus bersyukur. Oh, khairunnisa memang wanita berhati mulia.
Syafiq dapat merasakan balutan matanya dibuka perlahan lahan. Dadanya berdebar kencang. Berjayakah pembedahan itu?

“Baiklah. Cuba buka mata perlahan-lahan. Jangan dipaksa. Mungkin pedih sedikit,” kedangaran suara doktor yang merawatnya. Syafiq menarik nafas dan mula membuka kelopak matanya. Setelah beberapa ketika, Syafiq memejam kembali matanya. Pedih! Syafiq mencuba sekali lagi dan akhirnya dia berjaya. Pandangan dia kabur dan mulai menjelas. Perkara pertama yang dilihatnya adalah senyuman manis Khairunnisa dalam tangisan air matanya. Ya Allah, aku bersyukur kepadaMu!


Undergoing MyBlogLog Verification