Jumaat, 28 November 2008

Semoga Cinta Itu Abadi 3


Syaza duduk di sudut perhentian bas itu dengan memeluk lututnya. Dia tidak memperdulikan keadaan perhentian bas itu yang sunyi dan hari yang hampir senja. Syaza menahan air matanya daripada tumpah ke pipi tetapi tidak berjaya. Air matanya mengalir deras. Terhinju-hinjut bahunya menahan tangis daripada terus mengalir.
“Ma, pa, kenapa tinggalkan Sya?” rintih Syaza dalam sendu. Dirinya ibarat dipanah petir apabila mendengar berita kematian ibu bapanya akibat kemalangan jalan raya petang tadi. Terasa kelam dunianya. Dia tiada lagi ibu bapa!
Air mata Syaza semakin mengalir. Dia betu-betul pilu. Apatah lagi mengenangkan dia masih bersekolah dan Aiman masih kecil tetapi sudah kehilangan ibu bapa. Dia baru berumur 15 tahun dan Aiman baru 4 tahun. Tidak adil! Dalam sendunya, tiba-tiba ada sehelai sapu tangan dihulur kepadanya. Syaza mendongak. Ingin mengetahui gerangan siapakah yang menghulurkan sapu tangannya kepadanya. Terpaku Syaza seketika.
“Awak tak nak lap air mata awak ke? Ambillah. Tangan saya dah lenguh ni,” kata lelaki tersebut sambil tersenyum. Syaza malu sendiri. Sedar dirinya terlalu lama merenung wajah lelaki tersebut. Dia segera menyambut sapu tangan bewarna biru itu dan menunduk kepala. Dia berasa malu dengan kelakuannya tadi. Dia juga malu apabila lelaki tersebut melihat wajahnya ketika menangis. Dia pasti, wajahnya pasti kelihatan hodoh sekarang. Ah, malunya!
“Kenapa tunduk? Tak nak tengok muka saya ke? Saya tahu saya tak handsome. Tapi, tak baik tau tak pandang muka orang apabila bercakap,” seloroh lelaki tersebut di sebelah Syaza. Syaza tersentak. ‘Bila masa pulak mamat ni duduk sebelah aku?’ tanya Syaza dalam hati sahaja. Tidak terluah di bibirnya.
“Terima kasih,” ucap Syaza. Dia mula mengangkat wajah. Dia memandang wajah lelaki di sebelahnya itu. Dia bagai tidak percaya yang lelaki itu disebelahnya. Lelaki itu adalah seniornya dan dari golongan elit di sekolahnya. Malah, dia adalah seorang pengawas dan mendapat keputusan yang cemerlang setiap kali peperiksaan. Ramai gadis di sekolahnya mencuba untuk mendekatinya. Terutamanya yang sedarjat dan sesempurna dia.
Syaza dan rakan-rakannya hanya mampu memandang dari jauh sahaja. Dia hanya dari keluarga yang sederhana. Jadi, memang logik kalau dia tidak pernah bercakap dengan lelaki itu. Malah, kalau bertembung pun dari jauh sahaja. Lelaki itu pula selalu bersama dengan golongan-golongan elit.
Lucu juga bila teringatkan Izzah yang mati-mati sukakan lelaki ini. Setiap kali bertembung dengan lelaki ini, pasti Izzah akan menjerit keriangan dan tersenyum sepanjang hari. Katanya, lelaki ini sangat sempurna. Sesuai untuk dijadikan calon suami! Dia pun selalu diheret sekali merenung lelaki tersebut setiap kali ternampak kelibatnya. Tapi, sudah semestinya lelaki ini tidak pernah perasankan kehadiran Izzah dan dia yang selalu memerhatikannya.
“Kenapa awak menangis sorang-sorang kat sini? Senja pulak tu. Tak takut kena culik ke?” tanya lelaki itu sambil berseloroh apabila melihat Syaza hanya diam. Syaza yang mendengar semakin pilu. Air matanya kembali mengalir. Dia teringatkan ibu bapanya kembali. Tidak dihiraukan lelaki itu di sebelahnya
“Awak boleh luahkan masalah kepada saya. Sekurang-kurangnya awak tak pendam dalam hati dan menangis keseorangan. Sangat sunyi, menangis keseorangan,” kata lelaki itu lembut. Entah kenapa, Syaza merasa ada getar pada suara lembut lelaki itu. Kedengaran seperti dia juga menahan pilu di hatinya.
“Awak pun jangan pendam dalam hati, masalah awak. Awak kata sangat sunyi pendamkan masalah keseorangan. Jadi, luahkan sahaja,”giliran Syaza pula menasihati. Lelaki itu tersentak. Mungkin terkejut dengan andaian Syaza. Namun, wajah terkejutnya berubah keruh selepas itu. Dia mengeluh lalu berkata.
“Saya tertekan sangat sekarang. Semua orang menyangka saya sempurna. Semua orang menaruh harapan pada saya. Tapi, saya tak sempurna..”wajah lelaki itu semakin keruh. Menunjukkan yang kepedihan itu telah disimpan sekan lama ”..Saya juga mahu hidup seperti remaja biasa. Keterlaluan sangat ke, permintaan saya itu? Saya tak hidup saya diatur. Saya tak mahu jadi boneka mereka. Mungkin, mereka gembira tapi saya, saya yang menderita! Saya juga manusia biasa. Saya mahu bebas seperti remaja lain. Tapi, kenapa dari kecil lagi saya berbeza? Kenapa?” lirih sekali suara lelaki itu. Syaza kehilangan kata-kata. Dia tidak pernah menyangka yang lelaki yang dilihat sempurna oleh semua orang mempunyai masalah sebegitu. Ini juga kali pertama Syaza melihat raut keruh di wajah tampan itu.
“Mereka melakukan begitu untuk kebaikan awak. Mereka mahu awak berjaya dan dipandang tinggi. Hasilnya sudah boleh dilihat sekarang. Awak menjadi perhatian ramai dan mendapat keputusan yang cemerlang,” kata Syaza selepas berfikir seketika. Lelaki itu tersenyum sinis mendengar kata-kata Syaza.
“Kebaikan saya? Adakah saya bahagia begini?” tanya lelaki itu lagi. Bibirnya masih terlukis senyum sinis. Sekali lagi Syaza terkedu.
“Awak boleh cuba bercakap dengan mereka. Mereka pasti memahami. Lagipun, mereka ibu bapa awak. Ibu bapa mana yang mahu melihat anak-anaknya menderita,” kata Syaza lagi. Lelaki itu tersenyum sinis lagi. Syaza pelik.
“Awak percaye ke cerita saya? Yalah, kita baru jumpa tapi saya dah cerita awak masalah saya. Tak pelik ke? Mungkin saya menipu awak hanya untuk mengenakan awak,” kata lelaki itu. Syaza terpempan. Betul juga apa yang dikatakan lelaki itu. Tapi, kenapa dia merasakan yang dia tidak menipu?
“Awak tak menipu,” kata Syaza perlahan. Lelaki itu tersentak. Kemudian di tersenyum sinis lagi.
“Macam mana awak tahu? Awak ni ahli nujum ke?” tanya lelaki itu sambil ketawa.
“Masalah awak itu sudah jelas di wajah awak. Tak guna awak sembunyikan dengan tawa,” kata-kata Syaza menghentikan ketawa lelaki itu. “Sekurang-kurangnya awak masih ada ibu bapa. Tak seperti saya. Saya dah tak ada. Awak masih ada mereka walaupun mereka mereka memaksa awak tapi saya tak bernasib baik seperti awak. Hargailah mereka sementara mereka masih boleh bersama awak,” Syaza berkata lagi. Lelaki itu terdiam. Mungkin memikirkan kata-kata Syaza.
“Jadi, sebab itulah awak menangis tadi?” tanya lelaki itu. Saya mengangguk. Dadanya berasa sebak. Lelaki itu juga diam. Tiba-tiba Syaza bangun.
“Sudahlah. Tak guna bersedih. Hidup harus diteruskan,” kata Syaza. Lelaki itu juga bangun.
“Lebih baik saya perkenalkan diri dulu sebelum balik. Saya Syaza Hawani,” kata Syaza. Syaza menghulurkan tangan. Lelaki itu menyambut huluran itu lalu berkata.
“Saya Tengku Nazrin Syahmi…”

“Woi! Kenapa tak keluar lagi dari kereta tu? Kau ingat kau ni puteri ke nak kena bukakan pintu?” kata-kata kasar Nazrin menghapuskan lamunan Syaza. Syaza tersentak. Baru dia sedar dia sudah mengelamun terlalu jauh. Dia segera keluar dari kereta dan menuruti langkah Nazrin. Sambil itu fikirannya melayang.
Memang, Syaza akui dia sudah jatuh cinta kepada Nazrin sejak dulu lagi. Sikap Nazrin yang baik menambat hatinya. Namun, sikap Nazrin berubah 100% selepas tragedi tersebut. Syaza berasa sakit setiap kali dikenakan dan dimarahi Nazrin. Terluka hatinya apabila dilakukan begitu terhadap orang tersayang. Setiap kali dia dikenakan Nazrin, dia akan mengutip sisa-sisa sabar yang berterabur. Hatinya yang hancur juga cuba dicantum kembali. Namun dia tidak dapat bertahan. Oleh sebab itulah, kerap dia mengalirkan air mata.
Dia tinggal di rumah ibu saudaranya tetapi ibu saudaranya mahu berpindah ke Pahang. Jadi, apabila ibu saudaranya mengajaknya tinggal di Pahang, Syaza tidak menolak. Dia tidak mahu terus terluka akibat perbuatan Nazrin. Dia juga tidak mahu Nazrin semakin benci kepadanya. Lima tahun berlalu, Syaza fikir cintanya terhadap Nazrin sudah pudar. Namun, sangkaanya meleset. Dia masih mencintai Nazrin. Dia merasa sakit yang amat sangat di hatinya setiap kali Nazrin mesra dengan teman-teman wanitanya di hadapannya. Syaza benci dirinya yang masih mencintai Nazrin walaupun dia teruk dilukai. Jika dia diberi pilihan, dia tidak mahu mencintai Nazrin. Mencintai Nazrin, seperti merobek-robek hatinya sendiri.
“Awak bawa saya ke mana ni?” tanya Syaza sambil memerhatikan ruang mewah yang dipenuhi dengan baju-baju yang cantik dan elegan.
“Butik pakaian. Takkan aku nak bawa kau pergi parti pakai baju kurung tu je. Jatuh nama aku,” kata Nazrin kasar tetapi perlahan. Syaza berkecil hati. Nazrin tidak habis-habis menghina penampilanya.
“Tolong carikan baju yang sesui dengan dia untuk ke parti. Kalau boleh, solekkan dia sekali,” kata Nazrin lembut kepada seorang wanita. Wanita itu mengangguk dan tersenyum. Syaza mengetap bibir. Kenapa dia tidak boleh bercakap lembut begitu denganku?
“Cik, ikut saya,” kata wanita tersebut lalu berjalan meninggalkan Nazrin. Syaza memandang sekilas Nazrin lalu menuruti langkah wanita tersebut.

Syaza berjalan dengan berhati-hati ke arah Nazrin yang membelakanginya. Takut tersandung gaunnya yang labuh itu. Berdebar-debar hatinya apabila memikirkan reaksi Nazrin nanti. Entah apa komen Nazrin nanti terhadap penampilannya.
Keadaannya sekarang seperti babak dalam drama Korea. Heroin yang sudah disolek cantik-cantik akan berjalan dengan lemah lembut ke arah hero yang sudah menunggu. Hero akan terpegun dengan kecantikan heroin dan akan memujinya cantik. Syaza tersenyum nakal apabila memikirkan itu. Alangkah bahagianya jikalau Nazrin adalah hero dan dia adalah heroin dalam drama. Pasti dia akan bahagia dengan Nazrin sebab hero akan bersama dengan heroin akhirnya!
“Encik,”panggil Syaza perlahan apabila sudah berada di belakang Nazrin. Nazrin memalingkan wajahnya. Dia memandang Syaza. Lama. Syaza malu ditenung begitu. Pipi yang sudah merah dengan pemerah pipi semakin merah. Dia juga tidak sabar mendengar komen dari Nazrin tentang penampilannya. Dalam malu itu dia sempat juga menilik penampilan Nazrin. Wow! Dengan gaya yang yang santai tetapi bergaya menjadikan ketampanan wajahnya semakin menyerlah. Warna kemejanya yang sedondon dengan gaun Syaza menyebabkan Syaza merasakan yang dia dan Nazrin seperti pasangan kekasih.
“Hmm, ok. Kita pergi sekarang. Dah lambat ni,” kata Nazrin selamba lalu meninggalkan Syaza terkulat-kulat seorang diri. Syaza terkedu. Itu je? Itu je ke komen dia? Aku pakai cantik-cantik, bersolek cantik-cantik, dia kata itu aje?!
Syaza memandang badannya di dalam cermin di sudut kedai itu dengan hati yang geram. Gaun bewarna hitam mengikut bentuk badan menutupi badannya yang ramping. Kain jarang hitam yang dihiasi labuci dan manik yang berkilauan menghiasi sikunya hingga ke hujung lengannya. Baju bewarna gelap menyerlahkan warna kulitnya yang cerah. Syaza memandang pula tudung yang dililit cantik sekeliling lehernya menampakkan bentuk lehernya yang jinjang. Dia juga turut merenung solekan di wajahnya. Natural dan lembut. Ini kali pertama dia berhias secantik itu tetapi adakah dia tidak cukup cantik? Kalau tidak, mengapa Nazrin tidak langsung memujinya? Hendak dikatakan malu, Nazrin langsung tidak tahu malu!
“Hei! Tak puas lagi ke tilik muka dalam cermin?” kedengaran suara sinis Nazrin mnyebabkan Syaza tersentak. Dia memandang geram Nazrin yang sudah menuju ke kereta. Syaza mengutuk Nazrin dalam hati. ‘Menyesal aku puji dia tadi!’

Tiada ulasan: