Isnin, 22 Disember 2008

Berikan Aku HidayahMu 2


“Jangan kacau aku lagilah, Mila. Kita dah tak ada apa-apa!” kata Syafiq kasar lalu menekan kasar punat di telefon bimbit mewahnya. Dia mendengus kasar. Geram dengan Mila yang asyik menganggunya. Dalam marahnya itu, secara tak sengaja dia telah terlanggar seorang gadis.

“Maaf,” ucapnya. Gadis tersebut hanya berjalan terus. Tiba-tiba dia terpandang seutas gelang di atas lantai. Tentu milik gadis yang dia langgar tadi, fikirnya. Dia segera mengambil gelang tersebut dan mengejar gadis tersebut.

“Cik, Cik!”panggil Syafiq sambil cuba mendahului langkah gadis tersebut. Dalam sekelip mata, dia sudah berada di hadapan gadis tersebut. Wajah gadis tersebut jelas kelihatan terkejut. Syafiq juga turut terpaku apabila melihat wajah gadis itu dengan lebih jelas. Gadis semalam!

“Ini milik cik ke? Gelang ni ada di atas lantai tadi,” kata Syafiq lalu menghulurkan gelang itu ke arah gadis tersebut. Dia menyambut gelang itu.

“Terima kasih. Mujur awak perasan. Kalau tidak tentu gelang ni dah hilang. Terima kasih ye,”ucap gadis tersebut dengan senyuman. Syafiq terpaku. Senyuman gadis tersebut begitu manis. Dalam hatinya dia bertekad ingin memiliki gadis ini.

“Biasa je. Oh ya, nama saya Syafiq Azrai,” ujar Syafiq lalu mengulurkan tangannya.

“Saya Khairunnisa. Panggil Nisa je cukup,” balas Khairunnisa tanpa menyambut huluran tangan Syafiq. Syafiq menarik semula tangannya, wajahnya mula memerah.

“Maaf, saya dah lambat ni. Saya pergi dulu,” ujar Khairunnisa lalu segera beredar. Syafiq terpaku seketika. Selepas itu dia cuba mencari gadis itu semula tetapi hampa. Khairunnisa sudah menghilang.

*********************************

“Tak sangka kita jumpa semula, kan?” ujar Syafiq memulakan bicara. Dia bagaikan tidak percaya Khairunnisa yang berada di hadapannya ini. Sejak berlanggar dengan gadis itu minggu lepas, syafiq tidak menyangka akan bertemunya kembali. Malah, mereka bekerja di tempat yang sama!

“Ya. Tak sangka, ya,” balas gadis tersebut dengan senyuman.

“Jom kita makan. Dah masuk waktu lunch ni,” ajak Syafiq lalu berdiri.

“Err, encik. Saya..” Khairunnisa kelihatan serba salah. Syafiq tersenyum.

“Anggaplah ini ajakan dari ketua awak untuk hari pertama awak bekerja di sini,” kata Syafiq. Khairunnisa terdiam seketika. Akhirnya dia bangun mengikuti langkah Syafiq. Senyuman Syafiq makin lebar. Rancangannya mula menunjukkan hasilnya.

**************************************

Syafiq melangkah ke banglo milik ibu dan bapanya dengan perlahan. Fikirannya berbelah-bagi sama ada kedatangannya ini betul atau tidak. Dalam kekeliruan itu, tidak diduga dia sudah berada di ruang tamu. Syafiq mengeluh.

“Fiq, dah sampai? Kenapa lambat sangat?” suara Mak Mah, pembantu rumah di banglo ini memasuki gegendang telinga Syafiq. Syafiq segera berpaling ke arah Mak Mah dan menghulurkan senyuman.

“Fiq ada kerja tadi. Mama dan papa kat mana, Mak Mah?” tanya Syafiq lalu meliarkan pendangannya.

“Ada kat meja makan. Tuan, puan dan Azim dah makan dulu. Fiq lambat sangat. Pergilah makan,” ujar Mak Mah lalu menarik Syafiq ke meja makan. Syafiq serba-salah tapi dia menurut sahaja.

“Tuan, puan, Syafiq dah sampai,” kata Mak Mah apabila sampai di meja makan.

“Fiq, datang juga kamu. Papa ingat Fiq dah tak datang rumah ni lagi lepas pindah. Duduklah, makan. Fiq tentu tak makan lagi,” tutur papa dengan senyuman. Syafiq membalas senyuman papanya tapi senyumannya terus berubah hambar apabila melihat wajah kelat Azim.

“Kenapa tak duduk lagi, Fiq,” tanya mama apabila melihat Syafiq yang masih berdiri. Syafiq tersentak. Segera dia duduk di sebelah Azim. Azim mendengus perlahan. Syafiq hanya berlagak selamba. Dia tahu Azim memang tidak sukakannya.

“Macam mana dengan kerja, Fiq?” tanya papa selepas berakhirnya makan malam.

“Tiada masalah pa. Fiq pun dah dapat beberapa projek baru,” ujar Syafiq perlahan. Dia tidak selesa melihat renungan tajam Azim di sebelahnya.

“Baguslah tu. Azim dah habis belajar, dia kan kerja kat syarikat kita jugak. Dia akan bekerja di bawah kamu. Jadi kamu tegurlah dia kalau dia ada buat silap, ya. Orang barulah katakan,” ujar papa sambil ketawa. Tiba-tiba Azim bangun. Wajahnya betul-betul kelat.

“Azim tak nak. Azim tak nak kerja kat bawah dia,” kata Azim separuh lantang. Syafiq hanya diam. Dia sudah menjangka beginilah reaksi Azim apabila diberitahu tentang kerjanya.

“Dia tu abang kamu. Kamu baru lagi, kena mula dari bawah. Abang Fiq pun mula dari bawah juga dulu,” balas papa.

“Dia bukan abang Azim. Kenapa Azim kena ikut apa dia buat?” Azim menjeling tajam Syafiq.

“Jangan biadap, Azim!” suara papa sudah mula meninggi. Wajah mama mula berubah cemas.

“Sebab dia, Azam mati. Sebab dia, Azim dah tak boleh jumpa Azam lagi. Dia patut tolong Azam waktu tu. tapi dia tak tolong. Dia pentingkan diri sendiri. Kalau bukan sebab dia, Azam ada lagi sekarang,” suara Azim mula berubah kendur tapi sayu. Syafiq menundukkan wajahnya. Kenangan pahit terlayar sekali lagi di dalam fikirannya. Mama dan papa diam. Azim mendengus kasar lalu segera mendaki tangga ke biliknya. Bunyi pintu dihempas jelas kedengaran. Suasana sunyi berlanjutan beberapa ketika sebelum mama datang mendekatinya. Syafiq perasan, mata mama merah. Dia berasa bersalah.

“Ini semua salah Fiq, kan ma,” ujar Syafiq. Tiba-tiba dia berasa sebak. Mama segera memeluknya.

“Ini bukan salah Fiq. Azim yang tak faham. Dia tak boleh terima hakikat yang kembarnya bukan mati kemalangan. Ini bukan salah Fiq,” air mata mama mula tumpah. Papa hanya diam memerhatikan mereka berdua.

“Tapi betul kata Azim. Kalau Fiq cepat, tentu Azam masih ada sekarang. Ni semua salah Fiq. Kesian mama, papa dan azim. Ni semua salah Fiq,” ujar Syafiq. Matanya juga mula memerah.

Tiada ulasan: